Monday, July 27, 2009

ABAH. Itu panggilanku untuk ayahanda kesayanganku. Abahku garang benar. Namun, kalau tidak kerana garangnya aku tidak akan jadi aku yang sekarang. Malah, banyak sangat perangai abah yang aku ikut. Garangnya. Anginnya. Sensitifnya.
Semua adik-beradik aku takut sangat dengan abah. Sekali dijerkahnya, kecut perut. Tak angkat muka! Kalau dia kata A. A! Kalau dia kata B. B!
ABAH. Kini sudah hampir satu tahun diserang stroke. Abah memang penghidap darah tinggi. Abah memang suka makan durian. Seingat aku, aku tegur abah kerana makan durian. Abah ketawa. Abah kata, "Ala, bukan selalu. Lagipun ubat aku ada."
Abah kerap tidur selepas waktu solat zohor. Lama pulak tu. Abah kata, "Ngantuk sangat." Abah aku peniaga kedai runcit yang cekap mengira. Abah tiba-tiba kerap was-was tak pasti kiraannya betul atau tidak, walhal betul. Itu laporan abang aku yang jadi assistant abah. Biasalah, kecil-kecil dulu kami selalu tolong abah. Jenuh kena jerkah abah. Ditengking herdiknya kami adik-beradik kalau buat salah. Macam manapun, aku paling sayang kat abah. Abah mengajar aku operasi bahagi dengan betul sampai faham tak sampai 10 minit.
Satu hari, abah tidur lepas zohor. Emak pulak tak kejutkan abah. Aku balik dari sekolah, abah baru bangun terkulat-kulat. Nampaknya abah masih belum solat asar. Aku solat asar. Lepas solat, emak panggil aku. "Izan! Izan! Marilah sini" Laung emak kalut. Aku bergegas mendapatkan emak. Aku lihat abah sedang termenung di kerusi...semacam bingung. "Abah kamu tanya aku semayang tu apa". Aku pula jadi bingung. Aku lihat pandangan abah kosong dan memang abah bingung. Aku terangkan apa yang perlu dibuat semasa solat. Tak kuterang konsep solat memandangkan abah betul-betul bingung. Kemudian, abah pergi sembahyang. Aku perhatikan abah sembahyang. Lama abah di sejadah.
Waktu magrib, abah solat seperti biasa. Biasa selepas magrib aku dengan abah akan mengaji. Suara aku dengan abah saling bertingkah. Abah mengaji di depan, aku pula senang mengaji di dapur. Kadang-kadang tersasul dibuatnya. Tentu itu juga masalah abah. Malam tu abah buka al-Quran dan membacanya. Aku dengar abah merungut, "Apa kenanya aku ni?" "Apa halnya abah?"soalku. "Ntah, tak boleh nak bacalah..." Abah tutup al-Quran dan baring.